Sunday, 3 February 2013

Latar Belakang Perlaksanaan 5S

Konsep 5S mula diperkenal di negara Jepun pada awal tahun 1980an. Tujuannya menjadikan tempat kerja selesa dan kemas. 

Kejayaan pelaksanaan Program 5S di negara itu, terutama dalam sektor perindustrian, telah membawa kepada penggunaannya secara meluas di seluruh dunia pada hari ini. Di Malaysia, konsep itu mula diperkenal pertengahan tahun 1980an dan telah dipraktikkan dalam sektor swasta terutama syarikat-syarikat multi-nasional.

Mengapa Perlu 5S?

Program 5S adalah usaha keseluruhan organisasi bagi menjadikan tempat kerja bersih, tersusun dan bersistem. Melalui amalan 5S, kita akan membina disiplin dan etika kerja yang baik di kalangan warga kerja yang akan menghasilkan prestasi kerja yang lebih baik, kerja berkualiti, memupuk semangat berpasukan dan tolong-menolong yang tinggi.

Amalan 5S juga merupakan teknik yang paling berkesan bagi mewujudkan budaya peningkatan secara berterusan atau dikenali sebagai ‘Kaizen’ dalam Bahasa Jepun.

Perbadanan Produktiviti Negara ( NPC) merupakan antara jururunding kepada organisasi yang berminat melaksanakan Program 5S di negara ini. Perkhidmatan itu disediakan kepada organisasi swasta dan kerajaan. Setiap organisasi yang mendapatkan perkhidmatan NPC akan diberi latihan (3 sesi) dan lawatan konsultasi (6 sesi).



Objektif Utama Program 5S

 1)Membina budaya Kaizen di tempat kerja

 2)Membina kerjasama melalui penyertaan semua

 3)Membina amalan kepimpinan pengurus dan penyelia

 4)Meningkatkan infrastruktur untuk melaksanakan program Kaizen yang lebih maju




 Ada dua pendekatan untuk mengamalkan 5S:

 1) Pendekatan Kaizen

 2) Pendekatan Inovasi

Oleh sebab 5S merupakan aktiviti yang berorientasikan manusia dan proses, pendekatan Kaizen adalah cara terbaik di mana pembaikan dilakukan secara sedikit demi sedikit tetapi berterusan. Bagi menjayakan Program 5S bukanlah semudah yang disangka. Untuk tujuan itu, komitmen yang tinggi diperlukan daripada semua peringkat kakitangan. Antaranya :

 Mengamalkan budaya kerja 5S

 Menetapkan agenda perbincangan untuk pembangunan Program 5S

 Meningkatkan pengetahuan berkaitan 5S

 Meluangkan masa untuk 5S

 Melaksanakan program 5S secara teratur tanpa tergesa-gesa

 Memperuntukkan sedikit kewangan untuk pelaksanaan




PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO, VISI DAN MISI






Salam semua Warga BDPS(P).










Jawatankuasa Promosi 5s Zon Flora BDPS(P) bersetuju untuk menganjurkan pertandingan mencipta logo, visi dan misi 5s di kalangan anggota bahagian bagi tujuan memenuhi kriteria perlaksanaan 5s di pejabat ini.



Kategori & Hadiah: 





1) Logo (hadiah berupa wang tunai RM50)
    = Logo harus bertemakan Flora

2) Visi (hadiah berupa wang tunai RM50)
   = Visi harus mudah, ringkas dan menyeluruh

3) Misi (hadiah berupa wang tunai RM50)
    = Misi harus bersifat mesra pekerja dan realistik




Tarikh Tutup:

Semua penyertaan perlu dihantar kepada Ketua AJK PROMOSI 5S Zon Flora selewat-lewatnya pada 6 Februari 2013 pada jam 8.30 pagi


Semua anggota digalakkan menyertai pertandingan ini bagi menyemarakkan lagi semangat bekerjasama dan sebagai menyatakan sokongan padu terhadap usaha-usaha bagi menjayakan perlaksanaan 5S di bahagian ini.

Sekian.


:: Farid Esa::
Ketua AJK Promosi 5S Zon Flora
BDPS(P) KPKK

Thursday, 31 January 2013


APA ITU 5S?


Apa Itu 5S?
Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang membawa maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Praktik ini diringkaskan menjadi 5S agar ia lebih mudah disebut dan seringkas penggunaannya. Walaupun ringkas, manfaat dari hasil penggunaannya terserlah dengan gaya kerja yang sistematik. Bermula dengan aktiviti 5S dan seterusnya mengamalkannya dengan penggunaan kaedah dan teknik kawalan kualiti, sesebuah organisasi akan mampu mengekal, menambahbaik dan meningkatkan kualiti kerja.

Sisih (Seiri)
Sisih atau mengasing adalah satu proses kerja mengasing barangan yang perlu daripada sekumpulan barangan yang tidak diperlukan di tempat kerja. Ia adalah proses menentukan barang-barang atau peralatan yang diperlukan atau tidak diperlukan. Proses pengasingan ini membantu dalam menentukan barangan yang mungkin tidak diperlukan sekarang tapi boleh digunakan pada masa hadapan dan peralatan haruslah disimpan di tempat simpanan yang sesuai.

Susun (Seiton)
Menyusun dan melabel dilakukan setelah kesemua barangan yang tidak diperlukan diasingkan. Ini dilakukan bertujuan memudahkan penggunaan dan penyimpanan. Susunan barangan dilakukan mengikut kumpulan yang sama. Dengan berbuat demikian, ia akan membantu mempercepatkan proses kerja bagi mendapatkan barang tersebut apabila diperlukan kelak. Tujuan utama menyusun untuk menjimatkan ruang nampak lebih kemas dan teratur dan memudahkan proses mencari pada masa akan datang.

Sapu (Seiso)
Kebanyakan pekerja akan merasa lebih selesa apabila bekerja dalam persekitaran yang bersih dan segar. Selain dari meningkatkan efisien kerja, menyapu juga boleh mempertingkatkan tahap keselamatan di tempat kerja dan peralatan yang digunakan. Ia bertujuan untuk menghilangkan habuk atau kekotoran yang melekat di lantai, mesin di tempat kerja atau barang-barang yang telah disisih dan disusun. Satu senarai semak hendaklah diletakkan untuk menjadi panduan kepada pekerja tentang apa yang harus dilakukan pada masa akan datang dalam aktiviti ini.

Seragam (Seiketsu)
Seragam hanya dapat dilakukan setelah aktiviti sisih, susun, dan sapu telah disempurnakan. Seragam atau mengekalkan kebersihan tempat kerja pada tahap asal adalah penting agar segala usaha yang dilakukan dalam tiga aktiviti terdahulu tidak menjadi sia-sia. Aktiviti yang dilakukan sendiri oleh kakitangan akan menyemai sifat kekitaan dan cintakan kebersihan di tempat kerja. Justeru, kakitangan akan sentiasa memastikan dan mengekalkan kebersihan tempat kerja mereka.


Sentiasa Amalkan (Shitsuke)
Setiap pekerja perlu faham, patuh, berusaha dan mengamalkan penjagaan kebersihan organisasi serta tempat kerja. Amalan kebersihan memang dituntut oleh semua masyarakat dan juga agama. Walau apa pun situasi kita, memang tidak dapat dinafikan amalan kebersihan merupakan titik tolak untuk menjelmakan peribadi yang mulia. Amalan ini dapat disemai dalam diri individu dengan memberi tunjuk ajar menerusi program latihan secara berkala dan mengamalkan budaya nasihat-menasihati.